Tiga Jenis Sampah Yang Menjijikkan !
Banyak kali saya melihat mereka dan acap kali itu juga hatiku menyampah pada golongan itu. Wajah ayu, cantik. Wajah tampan, menarik. Malangnya, sikap tidak seindah kewujudan alami. Seperti habis madu, sepah dibuang..... eh ! salah. Itu kata-kata untuk kisah lainnya. Kisah ini berbeza, tetapi ada kebersamaannya jika diperhatikan dari sudut mata hati yang tajam.
dia lebih baik...... dan tidak menjijikkan |
Suatu hari bahkan selalu, mata ini melihat perbuatan tak senonoh itu. Merokok, habis rokok puntungnya dibuang merata tempat. Saya pernah melihat seorang wanita baya umur, berjalan bagai diri seorang model tanahair, menghembuskan asap dari mulut, melihat manusia sekeliling bagai dialah atasan dan orang lain hanyalah debu-debu yang ditiup angin dipinggir jalan. Habis rokok, lalu membuangnya begitu saja dan dia berlalu tanpa rasa bersalah dan menganggap bahawa perbuatannya sangat 'high class' . Ciss ! biadap. Merokok 50 batang sehari pun tiada orang kisah akan paru-parumu dengan syarat jangan ditempat terbuka dan jangan membuang sampah merata tempat. Sudahlah udara dicemarkan, tanah dan konkrit juga mahu dikotor.
Tragedi masyarakat sampah kedua. Hari itu saya naik bas kerana encik driver ada hal. Seorang wanita muda dengan kekasihnya yang bukan pemilik hakiki lagu negaraku, minum minuman dalam tin. Rasa dahaganya hilang, air minumannya habis...cuba teka tin itu disimpannya dimana ? Traaaaang !! tin itu dibuangnya ke arah luar jendela kereta. Sesuka hatinya, ini bukan negerinya dan andai kata ini negerinya, sama saja dia tidak punya hak untuk mengotorkannya. Jujur saja, saya benci manusia bersifat hipokrit seperti itu. Bila ditegur, wanita itu berkata 'nanti ada orang pungutlah tu' ....... oh, manusia ! cara fikirmu terlalu sempit, rumahmu pasti dipenuhi sampah.
Lagi satu, sampah yang tidak boleh dibuang namun boleh dipinggirkan. Ia tidak membuang sampah tetapi, kata-katanya selalu seakan sampah. Bicaranya menyakitkan terkadang terlalu manis sehingga sukar untuk dinikmati kerana kemanisannya. Jika terlalu dinikmati takut pula terkena penyakit diabetes kata-kata, terjerumus dalam lembah penyakit sukar diubati. Manusia jenis ini baik didepan, lain dibelakang ; sama seperti duit syiling belakangnya tidak sama dengan apa yang ada didepan. Manusia jenis ini sangat bahaya namun, sangat mudah untuk dikenal. Bila dia berkawan dengan orang lain, orang lain yang pada mulanya berteman dengan kita akan menjauh dengan kita , kalau boleh sejauh timur dari barat, selatan dari utara. Kenapa ? Kerana ada kata-kata projek sampah dari manusia jenis sampah ini. Menabur kata dusta dan durjana, mohon setiap manusia menyayangi diri manusia ini kerana dia lagi butuhkan perhatian dan kasih sayang. Sayangi dia ya ? meski dia tidak layak disayangi namun, dia berhak untuk dikasihi. Siapa tahu kasih mampu memurnikan hatinya yang keruh dan memadamkan hobi menabur benci dimana-mana.
Berbanding dengan peminta sedekah, saya lebih melihat jenis-jenis manusia diatas ini sebagai manusia yang lebih sampah berbanding golongan peminta. Maaf. Kata-kata saya mungkin buat anda cemberut, mahu melihat keberadaan diriku sebaik mana jika dibandingkan dengan diri kalian. Hakikatnya saya tidak sebaik mana, realitinya saya tidak seteruk seperti apa yang saya tulis. Pada akhirnya, masing-masing kita berhak melakukan apa sukamu, apa mahumu kerana hidupmu adalah milikmu meski pada dasarnya ia bukanlah hakmu sepenuhnya. Dunia ini juga bukan milikmu. Setiap kita wajib menjaga persekitaran kita semakin indah setiap hari bukan semakin buruk dan hancur oleh perbuatan sampah manusia.
Segaris kata sebelum tulisan berakhir 'jangan membuang sampah jika tidak mahu disebut sampah'.
6 Ulasan