Cerita bersambung dari kisah Mengejar Blue Fire Di Kawah Ijen
Setelah turun dengan rasa puas dan syukur kerana sempat melihat blue fire di Kawah Ijen, kami kembali ke Homestay Catimor untuk check-out dan Hotel Bromo Permai 1, Ngadisari Indonesia siap menanti kami. Sepanjang perjalanan ke Hotel Bromo Permai 1, ada kata yang tak luput dari bibir setiap kami dan kata itu adalah :
Benar, kawasan menuju Hotel Bromo Permai 1 pemandangannya sangat memukau hati. Sepanjang jalan penuh dengan aktiviti pertanian, sayur-sayuran tumbuh segar dan ia persis seperti kawasan yang saya dambakan untuk bertenang dan menikmati hidup apa adanya. Ia jauh dari kota, ia sangat desa tetapi justeru, sifat desa itulah yang membuat kami kagum dan mencintai tempat ini. Sejuk dan permai. Hotel Bromo Permai 1 terletak dipuncak bukit atau mungkin lebih tepat sudah dekat dengan Gunung Bromo dan ketika kami tiba hujan sedang asyik menitikkan berkat kebumi. Dimaklumkan juga bahawa waktu itu adalah musim hujan. Namun, kami yakin ketika kami hadir cuaca yang kami terima adalah cuaca yang terbaik.
Tidur lebih awal dan itu kebiasaan ketika kita berada ditempat yang sejuk. Munafik rasanya jika tidak menyelitkan sedikit pujian buat Gunung Kinabalu negeriku (haha). Sejuk dikawasan hotel ini setanding dengan sejuk Laban Rata gunung Kinabalu. Bezanya kawasan ini, sang angin seakan bertiup lebih dasyat dan terasa hingga ketulang sumsum gue. haha. Tidur sebelum jam 8, dibungkus selimut enaknya sukar dijelaskan dengan kata.
Bangun pada jam 2.00 pagi kerana harus berangkat lebih awal untuk menyaksikan panorama matahari terbit sekitar jam 4 pagi. Jeep sudah tersedia buat kami. wow ! penantianku selama beberapa bulan akhirnya terjawab, bangun dan jeep siap menunggu untuk melihat matahari terbit dipergunungan. Sebelum ke view point kami singgah sebentar disebuah kedai kopi untuk bersarapan. Waktu itu hujan turun. Sulfur Kawah Ijen telah kuredah, inikan pula hanya hujan dan oleh itu, berpatah balik dan tidak meneruskan perjalanan adalah kesia-siaan belaka.
Meneruskan perjalanan ke View Point Penanjakan untuk harapan melihat matahari terbit serta; pemandangan Gunung Bromo dan Gunung Semeru tetapi, hujan menutup mata kami dari menikmati panorama itu. Tidak apa-apa, matahari hari terbit itu wajahnya sama dimana pun ia berada. Jadi, kami tidak harus terlalu kecewa dengan tidak munculnya ia dihadapan kami waktu itu. Beberapa lama kemudian hujan pun berhenti, sesi bergambar pun bermula. Sesi kegemaran semua !
Kami meneruskan perjalanan dengan menaiki Jeep ke Gunung Bromo. Andai kamu merupakan penonton setia Go Asean Channel, anda pasti melihat iklan utama mereka sepanjang beberapa bulan ini iaitu ; Gunung Bromo. Ketika kami akhirnya sampai ke kawasan Gunung Bromo, para pemilik kuda telah bersiap sedia menawarkan perkhidmatan menunggang kuda. Tawaran agak baik, hanya 100,000Rp pergi dan balik. Awal perbincangan dengan guide kami berkata tidak mahu naik kuda, mahu menikmati perjalanan dengan kaki sendiri saja. Namun, tawaran istimewa itu membuat hati kami mencair dengan sempurna dan kami semua menunggang kuda seperti cowboy. Asyiiiik !
Rupanya perjalanan agak jauh dan berjalan kaki mungkin membuat kami lambat untuk kedestinasi seterusnya. Naik kuda adalah pilihan terbaik tetapi, berjalan kaki juga pastinya memberi pengalaman tersendiri. Kami menunggang kuda sehingga dibawah tangga sebelum menuju puncak Gunung Bromo. Kami meneruskan perjalanan mendaki 250 anak tangga sehingga puncak dan sulfur dari dasar kawah Gunung Bromo mengharuskan kami menutup deria hidu dengan mask. Mask saya tertinggal di hotel dan terpaksa menutup mulut dan hidung menggunakan scarf. Kami beruntung kerana berjaya melihat dasar kawah Bromo dengan jelas sebelum beberapa detik kemudian ia tertutup dengan asap sulfur yang tebal. Jika terjatuh dari ketinggian puncak Gunung Bromo, jelas-jelaslah tidak perlu dicari dimana keberadaan kita kerana ia sungguh tinggi dan berbahaya. Oleh itu setiap pendaki harus sangat berhati-hati dan jangan pernah melebihi had laluan yang telah ditetapkan.
Indonesia kaya dengan jalur penjelajahan yang begitu menakjubkan. Dari Gunung Bromo kami meneruskan perjalanan ke kawasan Savanah. Tempat ini sungguh, sungguh, sungguh cantik. Jika ada peluang, saya pasti akan datang lagi kesini. Penyesalan terbit sedikit, andai saja...ya, andai saja kami memakai pakaian yang sedikit 'grand' pasti hasil gambar hebat dan sensasi. hehe. Namun, pemandangan indah menutup segala kekurangan itu dan special thanks buat Mr Rayhan, guide dan juga photographer kami sepanjang berada di Bromo. Tempat ini sejuk dan untuk ketik-ketik camera itu sangat malas jika dilakukan sendiri tetapi, dengan adanya photographer maka yang kami perlukan hanyalah beraksi didepan kamera. Terima kasih kepada Agent Wisata Bromo kerana menyediakan perkhidmatan terbaik buat pelanggannya.
Setelah bergambar dan menikmati sejuknya Savanah, kami bergerak ke destinasi seterusnya iaitu 'The Whispering Sand' atau Pasir Berbisik. Pasir itu telah berbisik padaku bahawa 'aku harus kembali kesini lagi' (haha). Bayangkan berada didalam kawasan Bromo tetapi, pemandangan dan pengalaman yang berbeza. Disatu sisi, kita berada dipuncak gunung kemudian beranjak ke kawasan padang hijau dan sejenak kemudian berada lautan pasir tanpa tumbuhan. Seperti mimpi rasanya. Tempat ini turut menjadi lokasi filem 'Whispering Sands' 2001. Menikmati ciptaan ini sedikit lebih lama mungkin menarik tetapi, rasa sejuk yang menggila memaksakan diri untuk cepat-cepat masuk kedalam jeep. Syukur kepada Tuhan ketika kami berada disini alam sangat tertatah rapi tanpa hujan sehingga kami mampu melihat karya indah sang Pencipta dibumi Indonesia.
Selebihnya biar gambar mengambil ahli penceritaan. Lebih lanjut ? beli saja tiket kapal dan terus ke Surabaya dan menyaksikan sendiri pusat pelancongan Bromo. Sekadar cerita tidak cukup, anda harus menikmatinya sendiri. Anyway, ketika menulis tulisan ini saya sempat bernostalgia tentang tawa riang bahagia kami sepanjang berada di Bromo. Sejuk mungkin tidak perlu diulas panjang lebar tetapi, saya senang memberitahu semua bahawa pengalaman yang kami terima itu lebih mahal daripada nilai ringgit yang harus kami korbankan.
Oh yeah, nikmat secawan kopi di Bromo itu sangat sedap kali ya. Sambil sejuk menikam kulit, hangat kopi mengembalikan semangat. Trip Bromo ternyata mengajak kami untuk merancang kembali percutian ke Indonesia. Bromo Tengger Semeru National Park memberi 1001 pengalaman baru buat kami, indah tiada terkata.
15 Ulasan