Saya pernah ke Kawah Domas, Tangkuban Perahu Paris Van Java juga, pernah ke Kawah Putih, Gunung Patuha Indonesia. Nyata, Kawah Ijen bukanlah kawah pertama yang saya jejaki. Justeru, kerana rasa 'pernah-pernah' itu saya membiarkan diri saya bermanjaan dengan hidup tanpa latihan. Saya menyangka Kawah Ijen itu perjalanannya biasa-biasa saja. Ternyata ia diluar jangkaan saya.
Sebelumnya saya menonton kisah tentang Kawah Ijen dalam dokumentari, yang difokuskan sukar oleh dokumentari itu hanyalah kehidupan seorang pengangkat belerang dan tidak pernah menyatakan kalau laluan tersebut juga sukar. Tidak pernah menyatakan asap sulfur itu kuat dan tidak pula diberitahu untuk harus memakai special mask.
Jam 00.30 alarm berbunyi, langsung bersiap untuk memulakan perjalanan ke Kawah Ijen pada jam 1.00 pagi. Terfikir sejenak, untuk apa sebenarnya saya disini ? bersusah-payah melawan ngantuk. Dingin dan hujan renyai-renyai membasahi bumi. Sejuk menyengat tubuh, alangkah indahnya jika tubuh terbungkus selimut tebal waktu itu.
Tapi, itu tidak mungkin. Saya kini berada dikawasan Gunung Ijen yang terletak di Kabupaten Bondowoso dan Kabupaten Banyuwangi, Jawa Timur dalam kawasan gunung berapi aktif. Misi mendaki Gunung Ijen untuk melihat 'blue fire' yang hanya terdapat dua didalam dunia dan Kawah Ijen merupakan pusat danau terbesar didunia yang mampu menghasilkan belerang dengan keluasan 5,466 hektar.
Untuk mendaki ke Gunung Ijen dari check point pertama tentu bukan masalah besar bagi sesetengah individu. Demikian juga saya. Namun, tidak semua punya kekuatan stamina yang sama dan sebab itu jugalah, tersedianya perkhidmatan 'telolet' disepanjang perjalanan menuju puncak Gunung Ijen. Tidak mampu berjalan atau malas berjalan ? naik saja telolet atau troli yang ditarik menggunakan kekuatan manusia. Jujur, bangsa Indonesia adalah bangsa yang rajin. Tiga kali saya berada dibumi Indonesia motivasi yang sama saya terima - Bangsa ini bukanlah bangsa yang malas. Saya pasti tidak berlebih-lebihan ketika memuji tetapi, saya menikmatinya ketika bersama dengan mereka.
Perjalanan ditemani oleh guide gunung yang sangat baik. Namanya Yono. Dia menjaga lima orang dan satu daripada kami terpaksa menggunakan perkhidmatan telolet dan perkhidmatan telolet hingga ke puncak itu berharga 500,000Rp. Nilai itu mahal ? ia sangat berbaloi dengan jarak yang jauh dan bentuk muka bumi yang tinggi. Dilain kesempatan saya juga mahu menggunakan perkhidmatan itu menunju puncak Gunung Ijen biar lebih cepat sampai ke puncak (hehe). Menghampiri puncak Gunung Ijen, bau sulfur mulai terasa kuat menusuk deria hidu. Kami diwajibkan memakai mask yang ala-ala star wars mask itu. Menggunakan mask itu membuat nafas kami kembali teratur indah dan tenang. Setibanya dipuncak Gunung Ijen, kami harus turun pula dari dinding gunung itu untuk ke Kawah Ijen.
...dan untuk turun ke kawasan Kawah Ijen, setiap orang harus berhati-hati. Ia tinggi, sempit dan laluan yang sama juga digunakan oleh para pengangkat belerang mengangkut belerang naik keatas. Setiap kali bertemu dengan para pengangkat belerang, laluan harus diberikan kepada mereka. Harus ! bebanan yang mereka angkat bukanlah ringan, ia sehingga 70kg. Ketika mendaki gunung, membawa bebanan 1kg pun sudah cukup sukar, inikan pula 70kg. Berjalan ditengah pagi yang sangat pagi serta masih gelap mengharuskan setiap pencinta Kawah Ijen berjalan menggunakan lampu suluh.
Gelap dan sulfur kuat. Berjalan laju pasti bukan pilihan yang tepat melainkan berjalan perlahan dan berhati-hati. Tujuan utama ke Kawah Ijen bukanlah untuk berbangga diri tentang ''saya telah sampai dan kamu belum'' melainkan untuk melihat Blue Fire dan ia boleh dilihat sekitar jam 2am sehingga jam 4am. Syukur disepanjang perjalanan turun ke Kawah Ijen ada tangan sang guide yang dengan setianya mahu memimpin tangan. Saya selalu bersyukur untuk satu hal ini, dimana pun kami berada dan ditemani guide, guide yang kami miliki adalah selalu yang terbaik ! Oleh kerana, tangan dipimpin maka perjalanan menjadi mudah dan lancar. Sesekali angin berhembus membawa kabus sulfur sehingga menutupi tubuh dari kepala ke kaki. Ia pasti bukan perasaan yang indah, seperti mahu mati rasanya. Meski menggunakan topeng gas, bernafas seperti biasa masih sukar dan menyebabkan mata pedih dan berair.
Bodohkah kami kerana berada disini ? sungguh, pasti bukan. Kami disini kerana takjub akan ciptaan Tuhan. Meski lelah dalam perjalanan, rasa itu terubat dengan pemandangan Kawah Ijen yang luarbiasa cantiknya. Istimewanya kami kerana berjaya menyaksikan blue fire dari jarak dekat. Wow ! api biru di Kawah Ijen. Bagaimanakah mungkin saya tidak terharu dengan pemandangan ini ? Saya tidak tahu bagaimana menuliskannya dengan kata, ia terlalu indah. Sangat indah dan luarbiasa.
Tulisan ini bukan sebuah dimensi seperti ramainya yang lain mengupload gambar bak selebriti menunjuk itu dan ini melainkan, sebagai sebuah kenangan dihari muka bahawa saya pernah menjejakkan kaki dibumi yang indah ini bersama teman yang lain. It is not the mountain we conquer, but ourselves. Saat pagi menyapa, matahari mulai menyinari Kawah ijen. Pemandangan indah menjadi sajian buat semua. Kawah Ijen berwarna kehijauan ditambah cahaya matahari lembut memantul kawah dan batuan dinding berwarna belerang kekuningan menjadikan panorama sempurna yang begitu mengesankan untuk dinikmati.
Untuk trip Kawah Ijen dan Blue Fire, saya merakamkan terima kasih buat Mas Yono our Mountain Guide waktu itu. Dia tergelincir namun, tidak menyatakan rasa sakit yang dia alami tetapi, saya tahu disetiap jatuh dan tergelincir dipergunungan, rasa sakit itu pasti ada. Dia manusia yang membuat perjalanan kami menjadi mudah dan lancar serta berjaya mengambil gambar blue fire dari jarak yang sangat dekat. Dia sanggup membahayakan dirinya demi kami. Terima kasih Mas Yono.
17 Ulasan