Ikutkan rancangan Sabtu lalu saya seharusnya mendaki Gunung Kinabalu tetapi, rancangan tersebut tidak terlaksanakan dan telah ditunda ke suatu tarikh baru. Dalam hati, 'YES !' kerana itu bermakna saya boleh menyertai xpdc menawan Singkug Hill Bayayat, Kota Belud bersama Team kerja Uni-Mix (saya bukan sebahagian dari tenaga kerja Uni-Mix).
Pendaftaran mendaki Singkug Hill adalah RM25 termasuk Guide + Sijil + makan tengahari + BBQ. Ketika sampai di kampung Bayayat, kami disambut dengan senyum mesra penduduk tersebut. 1st impression, kampung itu tenang dan indah. Saya suka kampung Bayayat Kota Belud !
Sebelum kaki melangkah menempuh cabaran Singkug Hill, kami diberikan taklimat ringkas tentang trail yang harus dipilih sama ada Trail A atau Trail B. Bagi sang penggemar cabaran, Trail A adalah kemestian. Trail B hanyalah sebuah pilihan jika yang diinginkan adalah perjalanan santai tanpa pengalaman extreme mendaki bukit yang curam dan licin. Berkali-kali dalam sesi taklimat tersebut kami digalakkan untuk memakai kasut 'Adidas Kampung' yang boleh disewa dari Eco-Pelancongan Bayayat. Saya dan rakan-rakan tidak memerlukan kasut itu ! sekurang-kurangnya keyakinan kami terhadap kasut yang kami pakai mampu membawa kami ke puncak. Tongkat juga boleh disewa, jika tidak yakin pada keadaan diri. Sekali lagi, keyakinan kami tinggi bahawa kami mampu tanpa tongkat.
Jam 8 kami bergerak menuju Trail A. Beberapa teman mengikut Trail B dan peserta termuda adalah seorang anak kecil berusia 3 tahun. Awal perjalanan agak mudah, sekadar menyusur kebun orang kampung tetapi, semakin kaki melangkah jauh, lelah dan penyesalan bersatu menjadi satu. Trail B, mungkin trail yang patut saya lalui.........tetapi, satu kata yang sering menjadi alasan kenapa saya bersemangat melangkah adalah 'setiap langkah menghantar kita kepada destinasi'. Ada laluan yang mudah dan tidak kurang pula, laluan yang membuat kita menyesal untuk memilih Trail A. Seluruh kudrat digunakan menjangkau akar-akar kayu yang ada untuk dijadikan alat pembantu untuk memanjat bukit yang curam, sesekali kaki tergelincir dek licinnya laluan tersebut. Mendongak keatas, seakan penghujung kepada laluan yang tinggi tiada akhirnya. Bertanya kepada guide, 'masih jauhkah perjalanan?' 'boleh tahan !' katanya dan saya faham maksud ayat tersebut. Setiap kali melalui laluan yang sukar, banyak mulut melontarkan soalan 'ini laluan sukar yang terakhirkah?' dan sang guide sering membalas soalan tersebut 'masih ada laluan yang lebih susah dari ini'. Ahhh...salahkah saya memilih Trail ?
Saya yakin saya berada ditrail yang benar. Trail A, satu trail yang tidak boleh dilupakan. Trail yang mencabar dan disini saya meyakini satu hal bahawa saya memakai kasut yang salah. Semasa taklimat saya yakin kepada kasut saya kerana, ia sudah mengukir kejayaan menawan puncak Gunung Kinabalu, Gunung Wakid, Gunung Bromo, Gunung Ijen dan banyak bukit-bukit yang lain tetapi, ternyata saya akur dengan ketidaksesuaiannya di Bukit Singkug Bayayat. Mungkin adidas kampung adalah jawapannya ! tidak perlu berbangga dengan produk Solomon, Colombia atau jenama lainnya, cukup menggunakan produk negeri ini - Adidas Kampung ! lebih mencengkam dan tahan lasak.
Benar kata tertulis, setiap langkah menghantar kita kepada destinasi tujuan dan akhirnya kami tiba di air terjun Guabon. Satu kata ekspresi terbit dari bicara dan perkataan itu adalah 'WOW' dan tempat itu, dimata saya sangat indah. Awalnya saya tidak mahu mandi tetapi, deruan airterjun sangat menggoda apatah lagi, setelah lelah menerjah separuh mati, rasanya rugi jika tidak menikmati air gunung itu. Jika ada pilihan untuk sekadar menikmati airterjun itu tanpa perlu mengguras tenaga memanjat bukit, saya tanpa perlu berfikir banyak kali akan mahu menerima undangan tersebut. Hanya untuk mandi di airterjun. Setelah mandi, kami bergegas meneruskan perjalanan pulang dengan pakaian basah. Perjalanan masih agak jauh tetapi, mudah.
Kami tiba dicheck point pertama iaitu tempat kami mula-mula berkumpul. Menukar pakaian dan menanti teman-teman yang lain tiba, berkumpul dan makan bersama. Hiking ke Singkug Hill dan mandi di Guabon Waterfall dilengkapkan dengan juadah kampung. Percaya kata saya, jika saya katakan sedap ia memang sedap ! Bayaran RM25 sangat berbaloi untuk sebuah pengalaman memanjat bukit, mandi di air terjun dan makanan kampung yang terbaik dari Eco-Tourism Bayayat Kota Belud. Tidak hanya itu, semua peserta menerima sijil penyertaan.
Buat penggemar hiking, anda wajib datang ke Singkug Hill Bayayat dan mengikuti Trail A yang disediakan. Trail B mungkin ceritanya sama dengan kisah bukit-bukit lain yang pernah anda tawan tetapi, tidak jika anda mengikuti Trail A.
Terima kasih kepada Eco-Tourism Kampung Bayayat Kota Belud kerana menyediakan trail yang mencabar, kampung yang bersih, indah dan segar.
Terima kasih kepada Eco-Tourism Kampung Bayayat Kota Belud kerana menyediakan trail yang mencabar, kampung yang bersih, indah dan segar.
Until next hike ! God bless.
12 Ulasan