www.cla-travel.asia ~ Jom Travel !
Akhirnya hajat untuk melawat Atkinson Clock Tower atau Menara Jam Atkinson tercapai. Jam Atkinson merupakan salah satu struktur praperang dunia II yang masih wujud di perut Bandaraya Kota Kinabalu yang saya cintai.
Akhirnya hajat untuk melawat Atkinson Clock Tower atau Menara Jam Atkinson tercapai. Jam Atkinson merupakan salah satu struktur praperang dunia II yang masih wujud di perut Bandaraya Kota Kinabalu yang saya cintai.
Menara jam ini dibina sebagai peringatan kepada Pegawai Daerah Pertama Jesselton iaitu, Francis George Atkinson. Beliau meninggal dunia pada Disember 1902 ketika berusia 28 tahun disebabkan oleh penyakit Malaria. Ibunya, Puan Mary Edith Atkinson memperkenalkan jam bermuka dua di bandar Jesselton sebagai satu penghargaan dan ingatan kepada anaknya yang terkasih. Struktur ini disiapkan pada 20 April 1905.
Hanya setelah bertahun-tahun saya bekerja di pusat bandaraya ini, baru hari ini saya berkesempatan menjejakkan kaki dan merakamkan potret di Atkinson Clock Tower Kota Kinabalu. Ada huru-hara beberapa tahun lalu mahu memusnahkan peringatan ini. Tempat ini tidak menggunakan kawasan yang besar. Atau mungkin saja jika kawasan terletaknya menara jam ini mahu dibangunkan apakah susah untuk sekadar memindahkannya tanpa perlu memusnahkan khazanah ini ? Tidak perlu bersikap prejudis kepada apa yang pernah dibangunkan oleh pihak penjajah dinegeri ini, kerana jika mereka tidak hadir maka selamanya tampuk pemerintahan di negeri ini bermahkotakan ke'kuno'an. Jangan dimusnahkan apa yang pernah dibangunkan dengan cinta. Cinta seorang ibu kepada anaknya.
Bantahan ramai pihak akhirnya berjaya menyelamatkan Atkinson Clock Tower daripada dimusnahkan. Saya mempunyai memori tersendiri tentang menara ini. 02 Febuari beberapa tahun yang lalu, saya tidak pulang ke rumah ketika tamatnya sesi persekolahan hari itu. Saya tidur di surau sekolah kerana malamnya, kami harus berarak mengangkat Menara Jam Atkinson buatan sekolah berarak beramai-ramai hingga ke Padang Merdeka Kota Kinabalu. 02 Febuari merupakan tarikh yang tidak boleh dilupakan oleh warga Kota Kinabalu kerana ia merupakan tarikh dimana Kota Kinabalu akhirnya dinobatkan sebagai Bandaraya.
Akhirnya saya tahu kenapa sekolah saya menggunakan Atkinson Clock Tower sebagai simbol sempena sambutan pengiktirafan bandaraya, ia merupakan salah satu tinggalan sejarah yang ada di Kota Kinabalu. Jika sejak dahulu ia terpelihara rapi, kenapa pada zaman ini ia harus dimusnahkan ? Tidak ada alasan yang tepat mengapa harus menguburkannya dari sejarah, ia harus dikekalkan di kota tercinta Kota Kinabalu.
Ia turut menjadi tarikan pelancong luar dan dalam negara. Tidak ada ruginya ia berdiri megah di Kota ini.
8 Ulasan