www.cla-travel.asia ~ Bukit Sosodikon, Kundasang
Saya akui, ini adalah bukit paling mudah yang pernah saya daki. Hanya 20 minit atau kurang dan 'hiking' itu selesai. Kami tiba di Kundasang masih awal pagi, matahari baru mulai tersenyum, menyentuh permukaan dunia, merengkuh jantung hatiku.
Tulisan ini tidak akan formal, hanya bersahaja. Ini adalah 2019, sedikit beza cara mempersembahkan kata-kata. Bukit Sosodikon lebih mengundang inspirasi daripada lelah, lebih menciptakan kebahagiaan daripada membuang banyak tenaga seperti memanjat bukit-bukit yang lain. Sebenarnya bukan tentang lokasi semata tetapi, lebih kepada kebersamaan dalam menciptakan kebahagiaan. Kadang mendung membuat suhu udara turun dan padam diwajah. Namun, kaki-kaki roda terus naik dan turun mengikuti gelombang jalan. Diterbangkan awan dari satu koordinat ke koordinat lain. Hanya untuk menciptakan kenangan, menjadi sebuah peta dalam kalbu, sebuah geografi di dalam akal.
Oleh kerana perjalanan ini terlalu mudah, bahkan anak kecil di bawah lima tahun juga mampu berjalan disini, maka, mungkin lokasi ini lebih sesuai menjadi lokasi fotografi. Ada waktu kabus menyelimuti kita seakan-akan kita hidup dalam dunia kapas dan fantasi.
Oleh kerana perjalanan ini kurang mengundang lelah dan peluh, maka, saya menyempatkan menulis kata-kata sambil sesekali disentuh gerimis alam. Menulis melalui memori lalu, cernaannya terlihat di sini.
Menulis adalah untuk tidak berfikir tetapi, pergi mengalir bersama kata-kata, bersama udara. Kebanyakan orang terlalu banyak berfikir tentang tulisannya. Apa yang dia tulis dan kemana tulisan itu membawanya. Seharusnya, mungkin, tidak seperti itu. Mungkin tidak perlu terlalu banyak yang kita fikirkan. Mungkin kita harus keluarkan sebahagian beban fikiran kita dan mendakap dunia dengan tulus apa adanya.
Tulisan informasi tentang Sososikon Hill boleh di baca disini.
27 Ulasan