www,cla-travel.asia
Bagi peminat hiking/climbing, panggilan untuk mendaki itu sudah pasti
terngiang-ngiang di kepala. Asyik rindu mendaki bukit atau gunung. Namun,
sebelum anda memulai pendakian, saya sarankan anda membaca kisah di bawah ini
sebagai persiapan. Kali ini kita akan mendaki Gunung Santubong, Sarawak. Ada
yang sudah sampai ke Gunung Santubong ?
Pengalaman ini dikongsikan oleh Yamin Ismail
yang telah mendaki gunung Santubong pada tahun 2019 yang terletak 30 kilometer
dari bandar Kuching, Sarawak. Walaupun ketinggiannya 810 meter dan trip ke
puncak hanya daypack, gunung ini adalah cabaran hebat kepada para pendaki. Ini kerana treknya sejauh 3.5 kilometer yang
menegak dan penuh dengan akar kayu yang berselirat dan bongkah batu.
Untuk mengatasi halangan ini, para pendaki
terpaksa menggunakan tali dan memanjat tangga besi menegak 90 darjah yang
disandar di dinding batu. Terdapat dua laluan ke puncak yang biasa
digunakan. Laluan pertama melalui pejabat Santubong
National Park dekat Kampung Budaya Sarawak dan laluan kedua dari Bukit Puteri yang sering menjadi
pilihan pendaki kerana treknya lebih pendek.
Mereka memulakan pendakian dari pintu masuk
Kampung Budaya Sarawak pada waktu pagi. Masa yang diperlukan untuk sampai ke
puncak adalah 5 jam. Pihak Taman Negara pula telah menetapkan limit
masa kepada pendaki iaitu paling lewat adaah jam 3 petang mesti mula turun dari
puncak kerana jika tidak, pendaki akan terpaksa meredah trek dalam kegelapan
semasa turun.
Hakikatnya, trek Santubong memang curam. Bukan
hanya perlu mendaki, tetapi perlu juga memanjat tebing batu dan tanah dengan
berpaut pada akar pokok. Semasa turun
kena kuatkan lagi semangat. Selain itu, para pendaki kena banyak pakai tali dan
berpaut pada akar pokok. Memang tangkap lutut. Amalkan teknik turun gostan dan
berpaut pada pokok untuk mengurangkan tekanan pada lutut.
Seberat apa pun cabaran dan halangan yang dihadapi,
asalkan kita optimis dan bermotivasi, kita pasti akan mampu mencapainya.
TIPS MENDAKI GUNUNG SANTUBONG
1) Bawa air sekurang-kurangnya 2 liter bagi
mengelak dehidrasi.
2) Pemakaian ''gloves'' digalakkan untuk
mengelakkan kecederaan tangan.
3) Berjalan ikut langkah sendiri dan ambil
masa serta tahu had kekuatan fizikal sendiri.
4) Jangan memaksa diri, berehat bila penat
atau bila jantung berdegup laju. Jalan perlahan kalau tak mampu laju, lama-lama
sampai juga ke puncak.
5) Tiada bayaran dikenakan untuk mendaki
Santubong. Pendaki hanya perlu mendaftar nama di pejabat Taman Negara
Santubong.
0 Ulasan