INDONESIA TRAVEL | PENGALAMAN TINGGAL DI VILLA BERHANTU

#Indonesia

Saya lupa sudah berapa kali saya ke Indonesia, negara pemilik pulau terbanyak di dunia. Sudah banyak hotel saya datangi, banyak pengalaman saya dapatkan hasil dari eksplorasi Indonesia. Mengenal orang asing yang kemudian menjadi kawan, sehingga kini atau bahkan, hampir menjadi ''cowok'' (atau ini kisah yang harus saya tuliskan kemudian ?).....
INDONESIA TRAVEL
Ruang tamu Villa..perhatikan di balik jendela tu hehe
Travel ke Indonesia banyak mengajar erti ''never give up'' ''kreatif'' ''berani'' dan ''komited''. Saya pernah ke Kawah Ijen dan melihat para lelaki sanggup bertarung nyawa mengambil belerang tanpa memakai alat keselamatan. Kawah Ijen merupakan Volcano aktif dan sangat bahaya. Tulisan penuh ada di sini

Namun, bukan itu yang ingin saya ceritakan. Seaslinya, saya tidak pernah takut untuk traveling sendiri tetapi, sering ketika malam menjelma rasa takut itu muncul sendiri. Minda saya selalu berimaginasi ''bagaimana jika di dalam bilik tersebut tiba-tiba muncul...'' nah, begitulah permulaan rasa takut bermula. 

Ketika masuk bilik hotel, perkara pertama yang saya kurang berminat adalah 'tub mandi'. Saya juga terlalu jarang menggunakan tub mandi kerana mungkin saya terlalu terpengaruh dengan sinetron di masa lalu. Bayangkan jika saya berbaring di dalamnya dan tiba-tiba ada objek muncul lalu menarik saya......

Travel ke Bandung, Indonesia. Pertama kali sampai ke negara tetangga, beberapa tahun yang lalu. Jakarta ke Bandung menggunakan kereta kerana, jauh perjalanan maka semakin luaslah pemandangan dan pengalaman. Benar. Itu sebab seringkali kami mengambil jalan yang jauh walaupun, sebenarnya boleh sampai dengan kapal terbang. Apa gunanya cepat jika, kita tidak mendapatkan apa-apa. 

Setelah perjalanan 5 jam akhirnya kami sampai Kota Bandung, sebuah kota di mana ramai perempuan cantik berada. Sekurang-kurangnya itu kata pemandu kami. Sekarang masanya menuju ke villa kami. Menurut kata salah seorang dari ahli trip, villa tersebut terletak di atas bukit di sebuah desa yang indah. Didekatnya, ada kebun strawberry dan beberapa keindahan lain turut diceritakan. wow. Saya sendiri sudah tidak sabar untuk sampai ke lokasi tersebut. Saya membayangkan suasana nyaman, sejuk dan tenang.

Perjalanan menyusur desa-desa. 1 jam berlalu. 2 jam berlalu. Kami masih di dalam kereta, mencari hala tuju ''di mana sebenarnya lokasi villa itu?''. Di siang hari, pemandu berkata dia tahu perkampungan itu tetapi, tidak pernah mendengar nama Villa tersebut. Perjalanan panjang dari Jakarta ke Bandung dan dari kota Bandung masuk ke perkampungan sudah menggunakan banyak masa. Sang driver sudah agak gusar ''kok, tempatnya susah di cari?''. Dia bertanya dengan orang yang ada di tepi jalan, tiada seorang pun tahu.

Bertanya lagi, kerana bertanya adalah hal wajib dilakukan untuk tetap berada di tempat yang benar. Namun, setiap kali di tanya, jawapan selalu mengecewakan 'tidak tahu'. Tidak tahu, tidak tahu, tidak tahu. Padahal, 100 meter dari orang terakhir di soal, kami akhirnya menemukan Villa tersebut. Persoalannya, bagaimana semua orang yang di soal menjawab 'tidak tahu' ? sedangkan Villa tersebut berada di kawasan mereka. 

Lega. Akhirnya kami sampai. Kami terdiri daripada 7 orang. 5 perempuan, 2 lelaki. Villa yang besar dan luas. Terletak di atas bukit dan di kawasan batas-batas pertanian orang buta. Keadaan sangat sunyi dan kami di suruh masuk ke dalam Villa tersebut. Seorang lelaki ala-ala orang putih muncul, seperti berada di dalam wayang Sinetron ''keren banget''. Dia mencadangkan agar kami cuba tidur satu malam dulu dan kalau suka boleh lanjutkan ke hari berikutnya. Namun, oleh kerana harga menginap di Villa tersebut sangat murah maka, kami menolak cadangan beliau dan terus membayar untuk penginapan selama 5 hari. Katanya, kami boleh tidur di bilik berasingan. Maksudnya, satu bilik satu orang dan harga tetap sama. Saya kurang suka cadangan seperti itu (haha). Jadi, kami memutuskan untuk mengambil 2 bilik, lelaki dan perempuan berasingan. Selesai bayaran, si pemilik terus berlalu dan tidak pernah muncul lagi. Jika ada apa-apa boleh berjumpa dengan orang gaji.

Bilik kami sangat besar dengan 3 katil - king bed dan single bed. Saya pernah pergi ke Catimor,  Surabaya, hotelnya terletak di tengah hutan, sangat biasa dan lama. Bilik mandi juga masih menggunakan kolah tetapi, saya tidak mempunyai sedikit pun perasaan takut ketika berada di dalamnya meskipun mandi jam 12 malam. Lain halnya dengan Villa ini, melangkah masuk ke bilik mandi pun saya takut. Seakan-akan ada orang lain yang melihat. Oleh kerana ada perasaan aneh maka, mandi berdua menjadi pilihan. 

Ternyata, Villa ini merupakan bekas kilang orang Belanda zaman dahulu. Pemilik yang kami temui  tadi merupakan generasi Belanda dan membangun kembali kilang tersebut menjadi Villa. Tapak ini sudah beratus tahun umurnya. Di luar Villa terdapat sebuah kolam di penuhi teratai, menurut kisah yang kami tahu beberapa hari kemudian, anak si pemilik pernah mati lemas di kolam tersebut. Pedih namun, itulah realiti kehidupan mereka.

Suatu hari, 'jalan-jalan' kami berakhir awal sebelum senja berlabuh. Sementara menunggu makan malam, 2 orang dari ahli trip, jalan-jalan di kawasan luar pagar Villa kerana, di sana terdapat banyak kedai runcit dari para penghuni desa. Mereka sempat meminta gunting rambut dan kembali ke Villa lebih kurang jam 6.30 petang. Ternyata jam 6 petang pintu pagar Villa sudah di tutup. Terpaksa menyelinap masuk melalui celah-celah pagar dawai. Kemudian, kami tahu bahawa jam semua pintu pagar harus di tutup kerana ada 'pocong'. 

Sinetron. Indonesia. Pocong. 

Ternyata benar ? Sudahlah ruang tamunya luas, menuju ke bilik harus pula melalui lorong. Tergantung pula gambar-gambar zaman Belanda semasa bekerja di dalam kilang seakan, tersenyum mesra. Ramai dari mereka mati di kilang dan kilang itu adalah Villa ini. Dua orang dari rakan trip kembali ke Sabah lebih awal, tinggal lagi 5 orang.

Hari terakhir, kemuncak cinta ''jangan kau ucap selamat tinggal''. Sebenarnya jika mahu berurut, ada orang buta yang akan mengurut. Semuanya kami tahu hanya di hari terakhir. Jadi kami tidak mendapatkan keistimewaan itu. Tiba waktunya kembali ke Jakarta....

Bilik lelaki. Tilam terdapat cengkaman-cengkaman berdarah, di tepi bantal..... 

Nama Villa dirahsiakan. Kisah benar. Kalau mahu menginap di Villa dengan harga  sangat ekonomi, saya boleh cadangkan Villa ini untuk anda. 

Catat Ulasan

0 Ulasan