Hidup kelihatannya sangat bosan tanpa menulis, tanpa membaca, tanpa aktiviti apalagi, ketika hanya berada di rumah sepanjang tahun 2020. Bagi sebahagian manusia, tahun 2020 merupakan tahun kejatuhan dari paras paling tinggi ke aras paling bawah, sebahagian manusia menjadikan tahun 2020 sebagai tahun paling berhasil, paling bahagia. Tidak kurang pula, ada manusia yang tanpa pernah ia ketahui sebenarnya sudah harus menutup usia di tahun 2020 - harus menerima panggilan pulang dari sang Pencipta.
Akhirnya, saya menuliskan ini ''saya telah berhenti kerja setelah membenarkan diri ini menjadi pekerja selama lebih 8 tahun'' - di pejabat konkrit berhawa dingin, di tengah ibu kota di negeri bawah bayu, bertemu dengan manusia pelbagai karenah, baik, garang, nakal, penuh kepura-puraan dan sebagainya. Kebanyakan menganggap bahawa kekayaan adalah segalanya. Saya tiada masalah dengan kata ''usaha'' kerana, berusaha itu penting dan bagi saya kejayaan adalah nama lain bagi sebuah usaha.
Ia bukan sebuah cerita tetapi, ia adalah fakta bahawa; manusia akan sangat baik dengan seseorang ketika ia mempunyai tujuan tertentu -- demi kepentingan dirinya. Saya benci pujian kerana, saya tahu pujian selalu menyembunyikan sesuatu. Manusia tidak akan sama dengan lontaran kata pujiannya terhadap kita KETIKA dia tahu kita tidak sehaluan dengannya. Meskipun, kita bersikap baik tetapi, di sudut yang lain kita tetap akan mendengar beberapa kata dari mulut sang pemuji kepada orang lain bahawa, kita 180' berbeza daripada apa yang sebenarnya dia tahu tentang kita. Itu fitnah atau, mungkin juga boleh di sebut sebagai 'penambah markah' memasuki daerah api selamanya ?
Tahun 2020, saya belajar tentang hak. Apa yang hak akan tetap menjadi hak kita dan kita berhak memperjuangkan hak kita. Apapun itu. Mimpi, cita-cita, cinta, kesihatan, pusaka dan sebagainya. Orang lain boleh menasihati tetapi, tiada hak untuk 'masuk lebih dalam'. Setiap kita berhak bersinar dengan cara kita sendiri. Tidak semua manusia akan berdiri di puncak kejayaan dengan harta berlimpah atau gulungan-gulungan ijazah.
Tahun 2020 merupakan penutup 1 dekad sebelum memulai dekad baru pada tahun 2021 dan selama 1 dekad saya belajar banyak hal termasuk; manusia pura-pura. Jujur saja, saya benci manusia pura-pura. Apalagi, manusia pemfitnah. Saya menyedari hal ini dalam aliran sedekad yang lalu bahawa manusia yang suka melakukan fitnah adalah manusia yang penuh dengan kegagalan. Manusia yang mempunyai banyak impian tetapi, selalu gagal. Manusia yang benci melihat kejayaan orang lain. Manusia ini tergolong dalam manusia kurang kasih-sayang. Berusaha meraih kasih dari orang lain dengan memfitnah satu pihak yang lain agar ramai orang akan terpedaya dengan kata-katanya dan hanya suka dengannya. Bahasa sederhana untuk golongan ini adalah -- manusia kasihan. Golongan ini selalu ingin menandingi -- namun, dia melakukan pertandingan yang sia-sia kerana, sebenarnya dia hanya bertanding dengan bayang-bayangnya sendiri.
Tahun 2020, akhirnya saya menjadi fulltime blogger ! impian sejak beberapa tahun yang lalu akhirnya menjadi realiti. Blog saya kembali hidup dengan beberapa pembaharuan dan turut diperkenankan oleh Google Adsense. Blog yang jarang-jarang dikemaskini semasa hidup dalam perjuangan 8-5 kerana, terlalu memberikan komitmen 100% dalam pekerjaan ---sehingga suatu hari, ketika saya seringkali lelah, saya bermonolog ''nilai usaha saya hanya inikah ?'' dan saya dengan sangat percaya diri, bahawa nilai usaha saya lebih daripada itu. Tidak bersyukurkah saya ? Saya bersyukur namun, kita juga harus bijak dalam menentukan hidup kita ''bagaimana kita di masa hadapan?''. Saya memilih blog kerana, ia tidak memerlukan pejabat. Di manapun saya berada, saya tetap dapat menghasilkan pendapatan.
Satu dekad yang lalu - keluarga besar saya mulai berkembang populasinya. Rakan 'sepernakalan' zaman kanak-kanak, bahagia dengan menu paling sederhana, tetap tidak berasa miskin ketika air hujan menitik masuk melalui atap rumah ke lantai rumah. Satu per satu, mereka mendirikan keluarga masing-masing. Satu dekad, jika di lihat pada angkah tidaklah terlalu lama tetapi, jika dilihat melalui peristiwa ternyata, adalah sangat banyak. 'Perlukah saya memasukkan dalam artikel khas --''perkahwinan satu dekad yang pernah saya hadiri?''
Lingkungan satu dekad, ada airmata yang harus mengalir ketika orang terdekat pergi untuk selamanya. Setiap kali melihat kubur, ada garis kata bahawa ''didalamnya ada tulang-tulang yang pernah utuh dan lengkap'' seperti kita. Justeru, untuk apa sombong ? Setiap kali mengingat bahawa setiap orang yang pergi, pasti ada hati yang sangat terluka, pasti ada doa yang sangat berharap agar Tuhan menambahkan lagi usianya di bumi, pasti ada soalan kenapa harus sekarang dan kenapa harus dia ? Setiap kita mempunyai waktu 'bila', kita hanya perlu menjalani hidup ini apa adanya, sebaik mungkin.
Satu dekad tanpa prestasi atau satu dekad dengan pelbagai kejayaan. Setiap orang mempunyai kegagalan dan kejayaan. Sebahagian orang beranggapan bahawa perkahwinan adalah kejayaan, memiliki keturunan sendiri adalah kejayaan, berjaya mendapat keputusan semua A adalah kejayaan, memiliki harta sendiri adalah kejayaan, melancong banyak kali adalah kejayaan, berjaya menguasai bahasa asing adalah kejayaan, berani mengambil keputusan drastik adalah kejayaan, berjaya mendapat tubuh langsing juga kejayaan. Kejayaan itu subjektif. Selagi objektif hidup kita belum tercapai, kita sering kali berasa gagal. Persoalannya, objektif kita apa ?
Mungkin tahun lalu dan tahun ini sudah ditakdirkan sebagai tahun Covid19, segalanya harus mematuhi SOP, harus tetap berada di kawasan sendiri, tahun meditasi dan isolasi, juga, tahun darurat politik. Apapun, saya tidak akan menulis sesuatu yang beraroma politik di sini kerana, saya bukan sang politikus yang rakus perhatian dan gila kuasa.
Selesai.
Tulisan ini berakhir di sini, untuk hari ini. Akan ada tulisan lain selepas ini.
Introvert selama 17 tahun - kerana itu, tulisan adalah makanan.
0 Ulasan