Acropolis merupakan tapak UNESCO sejak tahun 1987 dan merupakan bukit batu kapur yang terletak di pusat kota Athena, Yunani. Tempat ini kaya dengan sejarah dan berperanan penting dalam peradaban Yunani Kuno. Acropolis merupakan tempat dari beberapa bangunan kuno terpenting termasuk Parthenon, Erechtheion, Propylaea dan Temple of Athena Nike.
Nama Acropolis berasal dari bahasa Yunani. Acro bererti ketinggian atau puncak yang tinggi, manakala polis pula bererti kota. Secara umum Acropolis membawa erti kota di puncak.
Pada zaman kuno, Acropolis digunakan sebagai benteng strategik dan tempat suci untuk dewi Athena, pelindung kota Athena. Kononnya, dewi Athena dan dewa Poseidon bertarung untuk memperebutkan nama kota ini, namun Athena akhirnya menjadi pemenangnya. Dalam mitologi Yunani, lagenda ini menjadi asal mula nama kota Athena atau Athens.
Nah! dari dulu hasrat hati memang mahu sangat melawat tapak arkeologi bersejarah Yunani, sejak saya belajar mengenainya semasa tingkatan 6. Macam-macam nama kena ingat dan hafal waktu itu. Namun sebagai seorang peminat sejarah, itu bukanlah hal tersusah 😜 meski cikgu sejarah waktu itu paling pemalas, masuk kelas cuma sekali sebulan (katanya latihan masuk universiti walhal tahap kemalasannya mengajar sangat terserlah cuma, kami budak naif waktu itu) - okay, flashback!😂 syukur dapat skor baik.
Pada abad ke-5 SM semasa berada di bawah pemerintahan Pericles, beliau memerintahkan agar dibangunkan bangunan-bangunan monumental di atas Acropolis, termasuk Parthenon yang merupakan kuil terbesar dan paling indah di kota itu. Para arkitek terkemuka pada waktu itu seperti Phidias, Iktinos, dan Kallikrates membantu membina karya seni terhebat dan masih boleh di lihat sampai sekarang.
Melangkah kaki ke tapak arkeologi ini merupakan salah satu pengalaman terbaik sekaligus menyaksikan reruntuhan kota tua sisa peradaban kuno Yunani.
Kebetulan waktu kami melawat Acropolis adalah pada musim sejuk dan cuaca sangat baik waktu itu. Disirami pula sinaran mentari sambil angin dingin bertiup menjadikan suasana pendakian sangat baik. Tidak sejuk dan tidak panas. Cuma adalah sangat bijak jika ketika mendaki anda turut membawa air mineral kerana, semakin tinggi anda mendaki, penat dan dahaga mulai terasa.
Tiket masuk adalah €20 seorang tetapi, memandangkan kami mendaki semasa musim sejuk maka terdapat diskaun musim sejuk bermula dari bulan November hingga bulan Mac setiap tahun dan hanya perlu bayar €10. Tapi bila convert currency ke MYR agak mahal jugalah (€10 = MYR51.54).
Pemandangan dari Acropolis memang padu dan menarik, boleh tengok seluruh kota Athens yang padat dengan bangunan. Selepas turun dari Acroplis, boleh melawat muzium Acropolis atau shopping cenderahati atau makan makanan Greek di sekitar kawasan bawah Acropolis pula. Satu hari memang tidak cukup untuk semua aktiviti.
That's why I will be back again, and this time I will visit the Acropolis Museum. Tunggu musim sejuk berlalu dahulu, sejuk dia tak boleh bincang😆
Nantikan tulisan saya seterusnya.
0 Ulasan