BERMALAS-MALASAN DI PULAU SALAMINA, GREECE

Agak lama tidak menulis sesuatu yang 'personal', asyik paid post sahaja. Hari ini paksakan jemari menaip aksara, biar semua cerita ditaip sebagai ingatan dikemudian hari. Sudah lapan bulan saya berada di kota Yunani, namun masih sedikit tulisan berkaitannya saya kongsikan. Lalu, apa yang harus saya coretkan? tentang apa? makanan, budaya, karakter manusia sekeliling atau tempat-tempat menarik?

PULAU SALAMINA, GREECE

Scroll gambar-gambar dalam galeri. Baiklah, saya memilih menulis tentang Pulau Salamina (Σαλαμίνα). Pulau Salamina adalah sebuah pulau di Greece, terletak di Teluk Saronikos berdekatan dengan ibu kota Athens. Pulau ini terkenal kerana menjadi lokasi pertempuran besar antara Persia dan Yunani pada tahun 480 SM, yang dikenal sebagai Pertempuran Salamis. Ok, singkat cerita Yunani menang.

Pulau ini juga memiliki warisan sejarah dan budaya yang kaya serta pantai yang indah untuk dinikmati oleh para penggemar pantai. Untuk ke Pulau Salamina, kami menyeberang menggunakan feri lebih kurang 15 minit dari terminal Perious. Sudah dua kali kami ke sana. Pergi ketika musim Spring dan Summer.

PULAU SALAMINA, GREECE
Dua musim berbeza dan tentunya suasana juga berlainan, menggunakan transport berbeza pula iaitu, kereta dan skuter. Pulau ini sangat hidup ketika musim panas, semua orang berada di pantai. Seakan-akan mereka berhenti melakukan tugasan lain, hanya berenang dan santai ditepian pantai. Namun, begitulah hakikatnya hidup mereka. Sekolah tutup sejak bermula musim panas sehingga berganti musim yang baru dan semua orang mempunyai 'summer vacation'. Tidak hairanlah ramai pelancong ke negara Asian ketika musim panas di negara mereka. Sebagai penghuni kota Metropolis Athens, kota ini sunyi ketika musim panas. Semua orang memilih pulau, pantai, gunung atau melancong ke luar negara.

PULAU SALAMINA, GREECE

Kami menginap dirumah teman, hanya beberapa langkah menuju pantai. Berada di pantai sehingga matahari berlari menyembunyikan wajahnya. Itu pun jam sembilan, gelap baru mulai menjelma. Waktu siang lebih panjang ketika musim panas. Sebenarnya, datang ke Salamina hanya untuk bermalas-malasan. Belum juga menjelajah tempat-tempat bersejarah pulau ini, nanti saja. 

Kali ini saya sempat memetik anggur dari halaman rumah, makan anggur segar dan percuma pula. Seronok! atau kata Sabahan 'punya siok'! dari dahulu saya ingin melakukan aktiviti seperti ini namun, apakan daya saya hanyalah hidup dinegara beriklim khatulistiwa. Ada pun kebun anggur, ia berbayar. Itu pun boleh dibilang dengan lima jari.

PULAU SALAMINA, GREECE

Tulisan ini sengaja saya tulis singkat kerana, ada cerita yang mahu saya tuliskan kemudian setelah saya melawat tapak bersejarah yang diceritakan oleh teman kepada saya. Saya tidak tahu bila, yang pasti memang akan ada. 

Sebenarnya, ada banyak tempat menarik sudah saya jejaki di negara Spartan ini. Satu-per-satu akan saya alkisahkan di blog ini, siapa tahu ia menyuntik nurani para pembaca untuk meminati kota tua ini? negara ini penuh dengan tapak arkeologi, dimana-mana. Hal ini memaksakan diri ini membaca, membaca dan terus rajin membaca tentang peradaban Yunani. Siapa tahu, saya akan menjadi ahli arkeologi? 😂😂😂

Jumpa ditulisan seterusnya!

Catat Ulasan

0 Ulasan